KEPALA BATAS: Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam, melancarkan kad keahlian Umno yang dilengkapi kemudahan teknologi terkini bagi memantapkan sistem pentadbiran parti.

Seramai 3.2 juta ahli Umno akan memiliki kad berkenaan secara berperingkat-peringkat dengan 140,000 kad diserahkan kepada ahli Umno Pulau Pinang, semalam.

Pada majlis pelancaran kad itu, Perdana Menteri turut menerima kad keahlian bagi pihak Umno Bahagian Kepala Batas daripada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad.

Datin Seri Jeanne Abdullah, turut menerima kad keahlian Umno yang diserahkan Abdullah.

Katanya, kad itu akan diserahkan kepada ahli Umno yang sudah berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Saya percaya usaha ini dapat melicinkan pentadbiran parti dan memastikan ahli menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,” katanya ketika berucap me-lancarkan Semarak Merdeka dan pelancaran Kad Keahlian Umno di Kompleks Sukan MPSP, di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Pengerusi Putera Umno, Datuk Azeez Rahim.

Kad berkenaan membolehkan Umno mengenal pasti perwakilan yang sah menghadiri perhimpunan Umno dan membuat pemilihan serta pengundian.

Selain sebagai saluran komunikasi dua hala antara Umno dan ahlinya, kad itu juga berfungsi sebagai kad kesetiaan membolehkan ahli mendapat rebet apabila berbelanja di lebih 100 rangkaian kedai ICash.

Pada majlis itu, Abdullah juga meminta semua bahagian dan cawangan Umno di seluruh negara mendaftarkan ahli masing-masing sebagai pengundi dengan segera.

Katanya, pendaftaran dengan SPR dapat membantu memperkukuhkan jentera parti, sekali gus memastikan Barisan Nasional (BN) terus menerajui negara pada masa hadapan.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Abdullah berkata, isterinya, Jeanne menjadi ahli Umno cawangan Bertam di Bahagian Kepala Batas.

“Beliau akan menjadi pengundi Parlimen Kepala Batas,” katanya yang juga pengundi dan Ahli Parlimen Kepala Batas.

Sementara itu, pelbagai acara diadakan sempena program berkenaan termasuk persembahan hiburan dan pertunjukan payung terjun dan silat yang disaksikan lebih 10,000 pengunjung.

Abdullah dan Jeanne turut menerima ucapan selamat pengantin baru daripada pelbagai pihak termasuk nyanyian ‘Selamat Pengantin Baru’ daripada beberapa artis termasuk Mawi.

Seorang daripada 11 penerjun Putera Umno yang berjaya membuat terjunan di Kutub Utara, turut membawa kain rentang tertulis ‘Selamat Pengantin Baru’ ketika pertunjukan payung terjun.

Catatan: Kita tidak pernah diberikan latar belakang penuh isteri baru PM. Setahu ramai rakyat Malaysia, beliau ialah merupakan wanita bukan Melayu yang memeluk Islam setelah mengahwini adik Allahyarham DS Endon Mahmood.

Jadi lumrahnya ibu dan bapa Jeanne bukanlah orang Melayu. Jika kedua-dua mereka bukan Melayu tentulah beliau tidak boleh dianggap Melayu. (bagaimanapun anak-anak beliau layak menyertai UMNO kerana salah seorang ibu bapa mereka adalah Melayu).

Jika dengan hanya memeluk Islam boleh menyertai UMNO maka mengapa dinafikan hak Cina Muslim dan India Muslim untuk sama menyertai UMNO? Perkahwinan seseorang bukan melayu dengan orang melayu tidak menjadikan beliau diiktiraf sebagai Melayu.

Dengan penerimaan Jeanne Danker Abdullah sebagai ahli Umno maka adakah Umno akan kekal menjadi parti Melayu ? Apa beza status Jeanne dengan Presiden Kimma yang memohon masuk Umno dan tidak layak maka tidak mahu masuk MIC lantas menubuhkan Kimma…….. ?

Oleh yang demikian, kami, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang tertanya-tanya mengenai status ‘Melayu dan Bumiputera‘ yang terdapat didalam perlembangan UMNO. Kami harapkan persoalan ini dapat diselesaikan dengan segera. Ini kerana ramai diantara kami melihat keahlian Jeanne Danker sebagai satu tindakan ‘double standard’ dan bercanggah dengan perlembagaan parti.

Sila rujuk perlembagaan UMNO

FASAL 4
JENIS AHLI
4.1 Ahli-ahli UMNO adalah dua jenis:

4.1.1 Ahli Biasa
4.1.2 Ahli Bergabung

4.2 Ahli Biasa ialah Warganegara Malaysia yang berbangsa Melayu atau Bumiputera yang berusia 18 tahun keatas.

4.3 Ahli Bergabung ialah sebuah pertubuhan politik yang bersetuju berkerjasama dengan UMNO dan menerima syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi.

FASAL 5
PENDAFTARAN KEAHLIAN
5.1 Tiap-tiap orang Melayu dan Bumiputera berhak mendaftar diri sebagai ahli UMNO mengikut Perlembagaan dan peraturannya.

Advertisements